ROH DAN HATI ANDA.
Assalammualaikum ...
Kalaulah pada tubuh jasad manusia itu ada penyakitnya dan ada pula pakar doktor untuk mengubatnya maka begitu juga roh atau hati manusia ada penyakitnya dan ada pula doktor doktor untuk mengubatnya. Tetapi apa yang paling aneh sekali dalam dunia moden hari ini ialah doktor-doktor pakar untuk mengubati penyakit roh paling sukar hendak didapati.
Sebaliknya yang paling banyak dan paling mudah didapati di ceruk rantau dunia ialah doktor-doktor pakar tubuh jasad kasar yang bakal menjadi santapan ulat di dalam kubur. Malah setiap hari kita melihat berduyun-duyun manusia pergi ke klinik-klinik dan hospital-hospital besar mendapatkan doktor bagi merawat dan mengubat penyakit badan kasar(zahir/jasad) dan tetapi sebaliknya tidak pernah kita melihat dan mendengar kebanyakan manusia bersungut mencari doktor penyakit roh bagi mendapat rawatannya.
Itulah tandanya menjadi perlumbaan dan kejar mengejar dalam perjuangan hidup manusia dalam zaman moden ini ialah "benda" atau "falsafah kebendaan"(materialistic).
Maka adalah perjuangan manusia di zaman moden hari ini ialah perjuangan benda belaka. Kaji benda, makan benda, sekolah benda, teknologi benda, sains benda. Pendek kata, segala-galanya adalah berasaskan kebendaan.
Maka tidaklah pelik kita dapati ketiadaan keseimbangan itu menyebabkan doktor pakar kaji penyakit roh itu payah hendak diketemui. Malah dikatakan manusia sekarang sihat-sihat belaka padahal tidak disedari bahawa rohnya dalam keadaan tenat kesakitan dan ia dalam tangis menjerit memohon rawatan tetapi tidak diperdulikan.
Dan berfikirlah dalam diri sendiri bahawa roh atau hati manusia itu tidak akan sembuh dari penyakitnya selagi penyakit-penyakit kebendaan dan budi pekerti kotor masih bermaharajalela dalam diri kita.
No comments:
Post a Comment